Bila Allah Menduga Kita

BERPRASANGKA BAIKLAH PADA TUHANMU

Apa maksudnya?

Ibnu Abud Dunya berkata,
Aku mendengar seorang lelaki yang banyak berpuasa dan kuat beribadah. Kemudian dia mendapat ujian yang sangat berat dan dia tersesat (tidak sabar) dalam menghadapi ujian itu. Dalam ketidaksabaran itu, dia berkata, "Dia (Allah) telah menimpakan kepadaku bermacam-macam bala dan bencana. Walaupun Dia memberiku syurga Firdaus, syurga itu tidak akan seimbang dengan apa yang telah menimpaku" kemudian dia berkata, "Apakah kiranya maksud ujian ini terhadapku? Jika Dia memaksudkan agar aku mati sahaja, itu akan aku terima. Adapun jika Dia bermaksud hanya untuk penyeksaan, apakah maksudNya?"

Marilah kita renung sedalam-dalamnya apakah wajar untuk kita mempersoalkan apa yang Allah telah tetapkan atas diri kita, walaupun hal itu menyakitkan kita? Ya Allah, betapa daifnya kami kerana bersangka buruk terhadapMu, padahal Engkaulah Al-Rahman dan Al-Rahim.

Makhluk Yang Suka Mengeluh

Pernahkah kita menilai diri sendiri, berapa kali kita mengeluh dalam sehari kerana situasi kita yang kurang menyenangkan? Mengapa ini terjadi dan apakah puncanya? Kita sentiasa mengeluh kerana perkara-perkara kecil dan besar. Misalnya, kenapa hari ini cuaca sangat panas? Kenapa sudah beberapa hari hujan tidak turun? Kenapa hidup terlalu sukar? Semasa makan dan minum tersedia, berakhirnya hujung minggu dan kita harus bersedia untuk ke sekolah atau pejabat pada hari Isnin, pun kita mengeluh. Jika kita dibebani dengan tugas-tugas dan tanggungjawab yang harus dilaksanakan, juga kita mengeluh. Saat umur semakin meningkat, kita juga mengeluh kerana seluruh anggota kita menjadi lemah dan takut kepada kematian. Bahkan ketika hidup kita cukup segalanya, kita masih lagi mengeluh. Jika begitu, apa lagi yang mampu membuatkan hati terasa tenang dan puas, sementara yang cukup tidak pernah terasa cukup?

Firman Allah SWT di dalam Al-Quran :
"Sesungguhnya manusia diciptakan bersifat keluh kesah lagi kedekut. Apabila ditimpa kesusahan dia berkeluh kesah dan apabila dia mendapat kebaikan dia amat kedekut" (Al-Ma'arij : 19-21)


Sekiranya dengan sindiranNya kita tidak berasa malu, maka pada sindiran siapa lagi kita patut malu? Bagaimanakah kita akan menyedari kekurangan dan segera memperbaiki diri? Demikianlah keadaan diri kita yang sentiasa mengeluh akan sesuatu, padahal keluhan itu tidak akan menjadi lebih baik. Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepadaMu dari perbuatan seperti ini! Mengapa Allah tidak menetapkan yang baik-baik atas diri kita? Demikian bantahan dan keluhan yang terkeluar dari bibir kita atau paling tidak yang terlintas di hati kita. Mengapa Allah menimpakan sesuatu yang tidak menyenangkan seperti ini? Seolah kita akan membawa kesnya ke pengadilan dan mahu menuntut keadilan di hadapan seorang hakim, padahal Allah SWT adalah hakim yang paling adil.

Firman Allah SWT di dalam Al-Quran:
" Bukankah Allah adalah hakim yang sebaik-baiknya (paling adil)? (At-Tiin:8)

Apakah kita masih mahu mengeluh dan membantahiNya kerana keadaan tidak menyenangkan yang kita hadapi? Apakah kita akan menyalahkanNya kerana kesusahan dan penderitaan kita? Atau kita akan mengadu tentang Allah pada manusia yang kita anggap lebih adil dan bijaksana?

Anak Kecil

Pernahkah anda mendengar seorang anak kecil membantah keputusan orang tuanya? Orang tuanya memaksa dia makan ubat yang sangat pahit demi untuk menyembuhkan si anak yang sedang sakit. Tetapi si anak menangis dan marah-marah. "Ibu jahat!" Pekiknya marah sambil menangis. Pada pendapat anda, adakah si ibu benar-benar seorang yang jahat atau si ibu sedang bertungkus-lumus berusaha untuk kebaikan anak itu? Si ibu sama sekali tidak berbuat jahat kepada anaknya, malah dia hendak menyembuhkan anaknya dari penyakit yang merbahaya. Jadi kenapa pula anak itu menangis marah-marah? Mengapa dia menuduh ibunya berlaku tidak baik padanya? Kerana anak itu masih kecil dan belum mengerti. Kemampuan berfikir & ilmu yang dimiliki si anak belum mampu menjadikannya memahami hakikat dari tindakan si ibu, sehingga kebaikan dilihat sbagai keburukan