Monday, December 13, 2010

Lihatlah Ke Arah Awan , Jangan Melihat Ke Arah Tanah

Seandainya tiada nyala api yang ada disebelahku,
Tentulah bau harum kayu gaharu tidak akan tercium

Jadilah seorang wanita yang memiliki cita-cita tinggi, kerana kami berharap agar anda selalu meningkatkan diri dan melanjutkan perjuangan hidup ini. Berhati-hatilah terhadap jebakan yang menjatuhkan dan menghinakan.

Ketahuilah, bahawa kehidupan hanya beberapa minit, bahkan hanya beberapa detik. Jadilah engkau seperti seekor semut dalam kesungguhan, ketekunan dan kesabaran. Cuba dan teruslah engkau mencuba. Bertaubatlah jika engkau kembali melakukan dosa dan kembalilah engkau kepada pintu taubat. Hafalkan kembali Al-Quran jika engkau telah lupa. Kembalilah engkau mengingatinya untuk yang kedua kalinya dan yang ketiga kalinya….. Bahkan untuk yang kesepuluh kalinya.

Hal yang penting ialah hendaknya anda tidak merasa gagal dan kecewa, kerana sesungguhnya sejarah tidak pernah mengenal kata-kata terakhir dan akal tidak pernah mengenal penghabisan sama sekali, tetapi yang dikenal hanyalah usaha dan pembaikan.

Sesungguhnya umur itu sama seperti jasmani, ia boleh saja diubah dengan melakukan operasi kecantikan. Sesungguhnya umur itu sama sekali seperti bangunan, ia dapat saja diruntuhkan dan dibangunkan kembali dengan reka bentuk dan cat warna yang baru. Maka, berhati-hatilah dan jauhilah pengaruh pemikiran yang gagal dan tidak berdaya. Hitungkanlah dari benak anda risiko-risiko tentang sakit, bencana, musibah dan ujian yang memberatkan.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
…..dan hanya kepada Allah hendaknya kamu bertawakal, jika kamu benar-benar orang yang beriman (Surah Al-Maidah: Ayat 23)

Bekalan
Meninggalkan Maksiat Adalah Jihad dan Menetapinya adalah Keingkaran

Semoga Rezeki Sedikit Yang Dapat Membahagiakan Anda, Bukan Rezeki Banyak Yang Menyegsarakan Anda

Apabila Allah menggelarkan keutamaan
Yang tadinya terlipat, diberikanlah kesempatan untuknya
Lisan orang yang dengki untuk berperanan

Umur anda yang dihitung adalah umur berisi dengan kebahagiaan, kesenangan, keredhaan, ketenangan dan kepuasan. Sedangkan ketika bersikap rakus, tamak dan merasa gelisah, maka ia bukanlah termasuk bahagian umur anda yang hakiki, kerana ia telah mengancam kesihatan dan kebahagiaan anda. Maka jagalah keredhaan anda kepada Allah, puas dengan pembahagian kurniaNya, beriman kepada takdirNya dan bersikap optimis dalam menghadapi masa depan.

Jadilah engkau sepeti kupu-kupu, ringan perawakan, indah dipandang, sedikit bergantung pada yang lain, terbang dari satu bunga ke bunga yang lain, dari satu tangkai ke tangkai yang lain dan dari satu taman ke taman yang lain.

Atau jadilah seperti lebah, makan dari yang baik dan mengeluarkan sesuatu yang baik. Bila hingap pada ranting, ia tidak mematahkannya, menghisap sari bunga tanpa menyengatnya, mengeluarkan madu tanpa menyengat, terbang dengan membawa kecintaan dan hinggap dengan membawa kasih sayang. Ia mempunyai suara dengungan bagaikan berita gembira dan suara designgan bagaikan ungkapan kepuasan, seakan-akan ia bagaikan malaikat yang ada di langit turun ke bumi dari alam yang kekal.

Bekalan
Allah Menyukai Orang-orang Yang Suka Bertaubat, Kerana Mereka Kembali KepadaNya dan Mengadukan Perihalnya KepadaNya.

Hitunglah Semua Nikmat Yang Allah Telah Kurniakan Kepada Anda

Sesungguhnya aku benar-benar berharap kepada Allah
Sehingga dengan kesabaran yang baik
Seakan-akan aku dapat melihat apa saja
Yang telah dilakukan oleh Allah kepadaku

Bila anda tiba di waktu pagi, maka ingatlah bahawa pagi itu telah menyapa beribu-ribu orang yang tidak beruntung, sementara anda sedang berada dalam kenikmatan. Ia menyapa beribu-ribu orang yang kelaparan, sementara anda sendiri kekenyangan. Ia menyapa beribu-ribu orang yang tertawan, sementara anda bebas merdeka. Ia menyapa beribu-ribu orang yang ditimpa musibah dan bencana, sementara anda selamat dan berbahagia.

Berapa banyak air mata yang berlinang di pipi seorang wanita, berapa banyak derita di hati seorang ibu, dan berapa keras jeritan di kerongkongan si kecil, sementara kamu tersenyum lega. Maka, pujilah Allah dan ucapkanlah ALHAMDULILLAH atas kasih sayang, perhatian dan kurniaanNya.

Duduklah anda dengan tenang, lalu berterus-teranglah kepada diri anda sendiri. Ambillah mesin kira atau alat hitung lainnya untuk memperincikan sudah berapa banyak harta, nikmat, kesenangan dan kegembiraan yang telah anda dapatkan. Begitu pula hitunglah kecantikan, wang, anak-anak, naungan, tempat tinggal, tanah air dan berbagai anugerah lainnya seperti penerangan, udara, air, makanan, ubat dan sebagainya. Oleh kerana itu, jalanilah hidup ini dengan senang, bahagia dan hati yang terhibur.

Bekalan
Belilah Dengan Wang Anda Doa Orang-orang Fakir dan Kecintaan Orang-orang Miskin

Anda Adalah Orang Yang Beruntung Dalam Keadaan Apa Pun....

Katakanlah kepada orang yang mencela kami
Kerana penggantian masa:
“Tiada yang mengingkari masa,
Kecuali hanyalah orang yang terancam oleh bahaya.”

Berharaplah yang baik dari Allah, bila anda merasa sedih, gelisah atau gundah gulana. Dan ketahuilah bahawa ia adalah sebahagian dari penebusan dosa. Bila anda kehilangan seorang anak maka ketahuiilah bahawa dia akan member syafaat bagi anda kelak di hadapan Allah. Bila anda menderita cacat atau penyakit pada tubuh anda maka ketahuilah bahawa masing-masing pahalanya telah tersimpan di sisi Allah.

Rasa lapar itu akan dibalas dengan pahalaNya, rasa sakit akan dibalas dengan ganjaranNya dan juga kemiskinan akan dibalas dengan pahala dari Allah. Tidak akan ada yang hilang di sisi Yang Maha Esa. Allah selalu menjaganya seperti menjaga titipan yang akan penuh di akhirat kelak.

Bekalan
Solat Menjamin Kelapangan Dada Pelakunya dan Mengusir Segala Kesedihannya.

Sunday, December 12, 2010

ANDA SEDANG BERINTERAKSI DENGAN TUHAN YANG MAHA MULIA LAGI MAHA PEMURAH

Mudah-mudahan malam-malam ini,
sesudah perpisahan yang begitu lama,
akan menghimpun kembali kita di bawah naungan
tempat-tempat yang kita sukai itu

Berharaplah akan kebaikan dan bergembiralah dengannya setiap waktu, kerana Allah telah mempersiapkan bagi anda pahala yang agung. Dia menyatakan hal itu dalam firmanNya:
“Maka Tuhan mereka memperkenan permohonannya (dengan berfirman): “Sesungguhnya Aku tidak menyia-nyiakan amal orang-orang yang beramal di antara kamu, baik lelaki atau perempuan” (Surah Ali-Imran: Ayat 195)

Allah telah berjanji kepada kaum wanita sesuatu yang sama seperti yang dijanjikanNya kepada kaum lelaki. Dia memuji wanita sebagaimana memuji lelaki.

Allah Subhanu wa Ta’ala berfirman:
“Sesungguhnya lelaki dan perempuan yang muslim, lelaki dan perempuan yang mukmin, lelaki dan perempuan yang benar, lelaki dan perempuan yang sabar, lelaki dan perempuan yang bersedekah, lelaki dan perempuan yang berpuasa, lelaki dan perempuan yang memelihara kehormatannya, lelaki dan perempuan yang banyak menyebut (nama) Allah, Allah telah menyediakan untuk mereka  ampunan dan pahala yang besar. (Surah Al-Ahzab: Ayat 35)

Hal ini menunjukkan bahawa anda adalah pasangan lelaki dan teman sejodoh dengan dengannya dan bahawa pahala anda terpelihara di sisi Allah. Oleh kerana itu, kerjakanlah perbuatan-perbuatan baik di dalam rumah dan masyarakat yang pada akhirnya akan menghantarkan anda untuk meraih redha Allah. Lakukanlah oleh anda contoh yang terbaik, jadilah anda teladan bagi anak-anak umat anda dan jadilah anda wanita paling ideal yang dihormati oleh mereka.

Pilihlah sebagai teladan dalam hidup anda Aisyah isteri Fir’aun, Maryam, Khadijah, Aisyah, Asma’ dan Fatimah – semoga Allah meredhai mereka semua. Mereka dan orang-orang yang semisal dengan mereka adalah wanita-wanita terbaik dan terpilih, wanita-wanita mukmin yang taat, suka berpuasa dan rajin menunaikan solat. Mereka redha kepada Allah dan Allah pun redha kepadanya. Berjalanlah di atas jalan hidup mereka dan pelajarilah biografinya, nescaya anda akan menunaikan di sana kebaikan, kedamaian dan ketenangan.

Bekalan
Hapuslah Air Mata Anak Yatim Agar Anda Meraih Redha Tuhan Yang Maha Pemurah dan Menempati SyurgaNya

Friday, December 10, 2010

Jangan Anda Carik-carik Hati Anda Dengan Kedua Tangan Anda Sendiri

Wahai masa, jika engkau masih mempunyai sisa bencana
untuk menghinakan orang-orang yang mulia
maka datangkanlah ia

Jauhilah apa saja yang dapat membunuh waktu anda, seperti membaca majalah-majalah hiburan dan gambar-gambar lucah, buku-buku berisi propaganda kukufuran, kisah-kisah yang merendahkan moral atau mengikuti pemikiran-pemikiran yang menyimpang. Manfaatkanlah waktu anda dengan membaca majalah-majalah Islam, Buku-buku yang bermanfaat, buletin-buletin yang membangunkan akhlak, majalah-majalah kajian yang berguna bagi anda di dunia dan akhirat.

Sesungguhnya, ada sejumlah buku dan artikel yang dapat menciptakan keraguan dalam hati dan penyimpangan. Semua itu merupakan pengaruh budaya sesat bagi penyimpang dari dunia non-islam yang melanda sebahagian besar negeri-negeri Islam.

Ketahuilah, bahawa sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta'ala, disisiNyalah terdapat kunci perbendaharaan yang ghaib dan hanya Dialah yang dapat melenyapkan kesusahan dan kesulitan. Oleh kerana itu, mohonlah kepadaNya dengan permintaan yang mendesak dan bacalah selalu doa berikut dengan berulang-ulang iaitu:

"Allahumma inni a’udhu bika minal hammi wal hazan. Wa’a uthu bika minnal ghammi wal kasal. Wa’a udhu bika minal jubni wal bukhl. Wa’a uthu bika min ghalabatid dayni wa qahrir rijal."
Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari kesulitan dan kesedihan. Aku berlindung kepada Engkau dari kelemahan dan kemalasan. Aku berlindung kepada Engkau dari kekikiran dan berhati pengecut. Aku berlindung kepada Engkau dari terbelit hutang dan tertindas orang lain (Hadith Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Bila anda sering mengulang-ulang hadith ini dan merenungkan maknanya, Allah akan melapangkan dadamu dari gelisah dan derita. Tentu saja dengan izin Allah.

Bekalan
Gunakanlah Tiap Detik Untuk Bertasbih, Tiap Minit Anda Untu Berfikir Dan Tiap Jam Anda Untuk Beramal

Wednesday, December 8, 2010

Bangunkanlah Untuk Anda Sebuah Istana Di Dalam Syurga

Ku turuti keinginanku, ternyata ia memperhambakanku
Sekiranya aku menerima apa adanya,
tentulah aku menjadi orang yang merdeka

Perhatikanlah betapa banyak generasi yang telah berlalu. apakah mereka pergi membawa harta benda mereka? Membawa istana-istana mereka? Pangkat serta kedudukan mereka? Apakah mereka dikuburkan dengan emas permata mereka? Apakah mereka berpindah ke akhirat dengan kereta-kereta dan pesawat-pesawat mereka? Sekali-kali tidak!


Bahkan mereka ditelanjangi dari baju dan penutup, dimasukkan dengan kain kafan ke liang kufur, kemudian mereka ditanya: " Siapakah Tuhanmu? Siapakah Nabimu? Apa agamamu?"

Oleh kerana itu, bersiap-siaplah dan bekalilah diri anda untuk menghadapi hari itu. Janganlah anda bersedih hati atau kecewa kerana kehilangan sesuatu dari harta duniawi, kerana sesungguhnya harta duniawi itu adalah barang yang murah dan pasti lenyap dan tidak akan kekal, selain amal soleh.

Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman;
Barangsiapa yang mengerjakan amal soleh, baik lelaki mahupun  perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan. (Surah An-Nahl: Ayat 97)

Bekalan
Sakit Laksana Misi Yang Membawa Berita gembira Sedang Sihat Bak Hiasan Yang Mempunyai Harganya Sendiri

Anda Dengan Apa Yang Anda Miliki Lebih Bahagia Daripada Jutaan Wanita Lainnya

Cukuplah bagi anda sepotong roti yang berisi
daripada harus meminta kepada orang
yang menutup pintunya
dan yang dicap olah banyak orang
sebagai orang yang kikir

Renungkanlah apa yang terjadi di alam semesta ini. Bukanlah di atas katil-katil putih rumah sakit terbaring beribu-ribu orang yang menderita sakit bertajun-tahun. Ada pula yang ditimpa kecelakaan sehingga membuatnya cacat seumur hidup. Bukankah di bilik jeriji sel penjara terdapat beribu-ribu orang yang dikekang kebahagiannya dan dirampas kesenangannya? bukankah di rumah sakit jiwa terdapat ramai orang yang kehilangan akal & kesedaran sehingga berubah menjadi orang-orang gila? bukankah di sana banyak orang kafir yang tinggal di pondok derita dan merasa kesulitan menemukan makanan walau hanya sepotong roti? Bukankah di sana ada wanita yang ditimpa musibah, di mana seluruh anak-anak meninggal ketika dalam suatu kecelakaan? Bukankah di sana ada wanita yang hilang penglihatannya, pendengarannya atau tangan dan kakinya yang dipotong atau orang-orang yang hilang akalnya atau yang menderita penyakit kronik seperti kanser dan penyakit berat lainnya.

Sedang engkau di sini selamat, terlindung dalam keadaan baik, tenteram, aman dan damai. Oleh kerana itu, bersyukurlah kepada Allah atas segala nikmatNya. Janganlah menghabiskan waktumu dalam hal yang tidak diredhai Allah seperti duduk berlama-lama di depan televisyen, menonton pelbagai siaran yang menyiarkan acara-acara murahan, palsu, tidak berharga, khayalan yang membuat hati penuh penyakit dan kesedihan, membuat jasad kita tidak melakukan pekerjaan wajib kita.

Sebaliknya, ambillah darinya hal yang berguna lagi berfaedah, seperti ceramah, pertemuan ilmiah, program kesihatan yang berguna, berbagai berita penting menyangkuti kemashlahatan individu muslim, baik lelaki mahupun perempuan atau siaran lainnya yang berguna. Hindarilah olaeh anda hal-hal murahan yang disiarkan melaluinya dan kegila-gilaan yang dimunculkan, kerana sesungguhnya hal tersebut bertentangan dengan etika, rasa malu dan norma agama.

Bekalan
Serahkanlah Orang Yang Zalim Ke Mahkamah Akhirat Yang Padanya Tiada Hakim Selain Allah

Thursday, December 2, 2010

Malas Adalah Teman Kegagalan

Tempat yang paling dibanggakan di dunia adalah yang mempunyai penerangan
dan sebaik-baik teman duduk sepanjang masa adalah buku

Kami menganjurkan kepada anda untuk menekuni pekerjaan anda dengan benar. Kemudian, janganlah berpangku tangan kerana bosan, malas dan tunduk pada kelalaian. Tetap bangkitlah dan kemaskan rumah dan perpustakaan peribadi anda. Tunaikanlah tugas anda, dirikanlah solat, bacalah Al-Quran dan buku-buku yang berfaedah, dan dengarkanlah cd-cd yang bermanfaat. Duduklah bersama para tetangga dan teman-teman anda. Diskusikan kepada mereka hal-hal yang dapat mendekatkan diri kepada Allah.

Pada saat itu engkau akan menemukan kebahagiaan, kelapangan dan kegembiraan. Janganlah sekali-kali kamu menyerah pada kekosongan, kerana semua itu akan memberi penderitaan, kesempitan hati, godaan, keraguan dan kesuraman jiwa yang tidak akan dapat dihilangkan kecuali dengan menyibukkan diri dengan pekerjaan.

Anda harus memperhatikan penampilan anda, sehingga anda tetap kelihatan cantik, harum di dalam rumah, serta kelihatan kemas dan bersih tempat duduk anda. Anda harus menyambut suami anda dengan akhlak yang baik, begitu pula terhadap anak-anak anda, saudara mara anda, kaum kerabat anda dan teman-teman anda dengan senyuman keramahan dan dada yang lapang.

Aku peringatkan agar kau menjauhi perbuatan maksiat, kerana ia adalah penyebab kesedihan. Khususnya perbuatan maksiat yang banyak dilakukan oleh perempuan, seperti melihat sesutau yang diharamkan, mempamerkan kecantikan, berkhalwat dengan orang asing (bukan mahram), melaknat, mencaci dan mengumpat atau mengingkari hak-hak suami dan tidak mengakui kebaikannya. Semua perbuatan tersebut banyak dilakukan oleh perempuan kecuali mereka yang mendapatkan rahmat allah. Takutlah engkau akan kemurkaan Allah. Bertaqwalah kepadaNya, kerana taqwa adalah jaminan kebahagiaanmu dan keredhaanNya atas hati tulusmu.

Bekalan
Apabila Kesusahan Datang Menerpa Diri dan Kecemasan Datang Bertindih-tindih Menghimpit Anda, Ucaplah: Laa Ilaha Illallah

Tidaklah Sama Wanita Mukmin dan Wanita Kafir

Tiada sesuatu kegembiraan pun yang kekal bagimu
dan tiada suatu kesedihan pun
dapat mengembalikan kepadamu
sesuatu yang telah hilang

Sesungguhnya anda dapat berbahagia dengan melihat satu fenomena sahaja, iaitu keadaan wanita muslimah di negeri-negeri Islam dan keadaan wanita kafir di negeri-negeri kafir. Wanita muslimah di negeri-negeri Islam bebas beriman, berinfaq, berpuasa, mendirikan solat, menutup aurat, taat kepada suaminya, takut kepada Tuhannya, baik kepada tetangganya dan berkasih sayang terhadap anak-anaknya. Alangkah berbahagianya dia dan baginya adalah ketenangan, keredhaan dan pahala yang besar dariNya.

Sedangkan wanita di negeri kafir, suka mempamerkan kecantikannya, jahiliyyah, naif, suka mempamerkan pakaian bagaikan barang yang tidak laku lagi murahan yang dijajakan di kebanyakan tempat, tidak bernilai sama sekali, tanpa mempunyai kehormatan dan tidak beragama.

Jadi, bandingkanlah antara kedua fenomena dan gambaran tersebut, nescaya anda akan merasakan bahawa anda adalah wanita yang paling bahagia, paling tinggi darjatnya dan paling terhormat kedudukannya. Alhamdulillah.

Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:
Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang-orang yang beriman (Surah Ali-'Imran: ayat 139)

Bekalan
Semua Orang, Baik Yang Mewakili Istana Mahupun Yang Memiliki Rumah Sederhana, Pasti Menjalani Kehidupannya, Tetapi Siapakah Yang Benar-Benar Meraih Kebahagiaan Dalam Hidup?

Cukuplah Kemuliaan Anda Dengan Menjadi Seorang Muslimah

Jangan kau putus asa
kerana tidak melihat jalan keluar
Kalau begitu, di manakah Allah dan takdirnya?

Segala sesuatu yang menimpa anda saat berjuang ke jalan Allah, merupakan penebus dosa anda atas izinNya. Bergembiralah dengan khabar yang terdapat dalam hadith ini.

Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam bersabda :
Apabila seorang wanita berbakti kepada suaminya, mengerjakan solat loma waktunya dan memerlihara kehormatannya, nescaya ia akan memasuki syurga Tuhannya (hadith Riwayat Ahmad)

Semua ini adalah perkara yang mudah bagi mereka yang dimudahkan oleh Allah. Oleh kerana itu saudariku, laksanakanlah amalan-amalan yang agung tersebut agar engkau dapat menemui Tuhan Yang Maha Pengasih; berjalanlah sesuai dengan Al-Quran dan Sunnah NabiNya, nescaya engkau akan menjadi seorang muslimah sejati.

Semua perkara ini merupakan kemuliaan yang agung dan kebanggaan yang besar bagi anda. Kerana selain anda, ada wanita yang dilahirkan di negeri-negeri kafir iaitu negara Nasrani, Yahudi, Komunis ataupun agama & ideologi lain yang bertentangan dengan Islam. Sedangkan, anda dipilih oleh Allah untuk menjadi Muslimah sejati dan Dia akan memasukkan anda ke dalam golongan umat Muhammad Sallallahu 'alaihi wasallam. Anda juga termasuk orang-orang yang mengikuti jejak Aisyah, Khadijah dan Fatimah - semoga Allah meredhai mereka semua.

Kami sampaikan ucapan selamat buat anda, kerana anda adalah wanita yang solat lima waktu, puasa pada bulan Ramadhan, menunaikan Haji di Baitullah dan memakai hijab yang diperintahkan oleh agama. Ucapan selamat buat anda kerana anda redha Allah sebagai Tuhan yang disembah, Islam sebagai agama yang dianuti dan Muhammad Sallallahu 'alaihi wasallam sebagai Rasul yang diikuti. ~

Bekalan
Bukan Emas Pertama Yang Mencantikkan Anda, Melainkan Yang Mencantikkan Anda Adalah Akhlaq Anda dan Kekayaan Anda Adalah Etika Anda

Anda Mempunyai Segudang Nikmat

Kelembutan Allah betapapun lama masanya
terasa bagaikan kerdipan mata bila mata terpejam

Saudariku, sesungguhnya sesudah kesulitan itu pasti ada kemudahan. Setelah titisan air mata pasti ada senyuman, dan setelah malam pasti akan datang siang. Awan kelabu kesedihan pasti berlalu. pekatnya malam kesusahan pasti tersingkap, segala masalah pasti teratasi, dan segala bencana pasti akan berakhir dengan izin Allah.

Ketahuilah, bahawa sesungguhnya engkau diganjari pahala. Jika engkau seorang ibu, anak-anakmu akan menjadi penyokong Islam, pelayan dan penolong agama, jika engkau mampu mendidik mereka dengan pendidikan yang benar. Mereka akan berdoa untukmu dalam sujud-sujud dan dalam malam-malam ibadah mereka.Sungguh suatu nikmat yang luar biasa menjadi seorang ibu yang penuh kasih-sayang dan kelembutan. Dan cukuplah bagimu utntuk merasa mulia dan bahagia bahawa ibu Nabi Muhammad Sallallahu 'alaihi wassalam adalah seorang ibu yang menghadiahkan bagi seluruh manusia seorang pemimpin agung dan Rasul yang mulia.

Dan puteri Wahab telah menghadiahkan kepada umat manusia" Tangan Putih" (Nabi Muhammad Sallallahu 'alaihi wasallam) yang merangkul bahu semua manusia

Saudariku, sebenarnya anda mampu menjadi da'iyah (penyeru kebaikan) di kalangan perempuan di negara anda. Serulah mereka dengan kalimah yang benar, nasihat yang baik dan penuh hikmah. Ajaklah mereka untuk berdialog dan berdiskusi. Tunjukkan pada mereka sikap yang bersahabat. Dan terakhir, bimbinglah mereka menuju risalah Allah dan RasulNya yang mulia. Sesungguhnya, wanita dengan perilakunya yang soleh dapat melakukan sesuatu yang tidak dapat dilakukan dengan cara berkhutbah, berpidato atau mengikuti pembelajaran.

Betapa banyak wanita selalu tetap dikenang, kerana menjadi rujukan dalam agama, rasa malu, hijab, akhlak yang baik, baik pada tetangga, dan taat kepada suami. Kisah hidupnya yang harum akan terus diceritakan oleh kebanyakan orang, dijadikan nasihat di majlis-majlis dan ikutan yang selalu ingin ditiru oleh kaumnya.

Bekalan
"Esok Akan Merekah Bunga Yang Harum Baunya Mengusir Segala Kesedihan dan Menjadi Penghibur Hati"

Wednesday, December 1, 2010

Wanita Yang Melawan Penindasan

Perhatikanlah nash-nash syariat yang terkandung dalam Al-Quran dan As-Sunnah. Sesungguhnya Allah telah memuji seorang wanita solehah dan mukminah.

Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman dalam ayat 11 Surah Ath-Tahrim:

Dan Allah membuat isteri Fir'aun perumpamaan bagi orang-orang yang beriman, ketika ia berkata: 'Ya Tuhanku, bangunlah untukku sebuah rumah di sisiMu dalam syurga dan selamatkanlah aku dari Fir'aun dan perbuatannya dan selamatkanlah aku dari kaum yang zalim.

Jadi, renungkanlah kenapa Allah menjadikan wanita ini (Asiyah Radhiyallahu 'anha) sebagai contoh atau ikutan bagi orang-orang mukmin atau mukminah? Kenapa Allah menjadikannya sebagai model dan fenomena yang jelas bagi mereka yang ingin mendapatkan hidayah dan melaksanakan sunnah Allah dan RasulNya dalam kehidupan?

Alangkah cerdas dan pintarnya wanita ini, kerana ternyata dia lebih memilih tinggi disisi Tuhannya Yang Maha Mulia dan lebih mengutamakan bertetangga (dengan Allah) daripada menempati tempat tinggalnya. Untuk itu, ia rela membangkang terhadap ketaatan kepada suaminya, Fir'aun yang berdosa, melampaui batas, lagi kafir. Dia menolak hidup di dalam istananya yang mewah penuh dengan perhiasan duniawi dan banyaknya para pelayan yang siap melayani semua keperluannya. Dia lebih memilih tempat tinggal yang kekal, lebih indah dan lebih cantik disisi Tuhannya yang menguasai semesta alam, di dalam syurga yang mengalir sungai-sungai di bawahnya, di tempat yang telah dijanjikan di sisi Tuhan Yang Maha Kuasa.

Sesungguhnya dia adalah wanita yang agung, di mana keteguhan dan kejujurannya telah mendorongnya untuk menyeru secara terang-terangan kepada suaminya - seorang diktator zalim - dengan kalimah kebenaran dan keimanan. Maka akhirnya, ia pun diseksa kerana mempertahankan keimanannya itu. Kemudian Allah menjadikannya sebagai wanita teladan bagi setiap mukminah hingga hari kiamat. Allah juga mencatat dan memuji namanya di dalam Al-Quran, serta menyanjung perbuatannya dan menghina suaminya yang telah menyimpang dari jalan Allah.

Bekalan
" Di Sana Ada Suatu Tempat Di Barisan Hadapan, Tetapi Menuntut Anda Untuk Menambah Peningkatan dan Kesempurnaan Dalam Setiap Hal Yang Anda Amalkan" 

buku Generasi.

Kenapa ianya buku Generasi.. kerana ianya pemberian dr insan yang ingin melihat aku selalu tersenyum, bahagia. Pemilik asal buku ini adalah seorang wanita yang kini dia telah berjaya. Aku pun tak knl siapa org itu..
Oleh kerana ianya adalah hadiah kelahiran ku.. aku ingin kongsi isi buku ini & aku mengharapkan penulis buku ini tak marah. :)

JANGANLAH BERSEDIH.. JADILAH WANITA YANG PALING BAHAGIA......

menulis......tulisan...........

aku menulis dari buku yang aku baca... satu sedekah.. jadi panduan & pedoman kepada anda yang membaca... aku ku tulis ianya sedikit demi sedikit... perlu bersabar sedikit... :)